Rabu, 7 Mac 2012

Tolong Sampaikan Padanya....

Tolong sampaikan pada si dia,
Tolong beritahu si dia,
aku ada pesanan buatnya..
Tolong beritahu si dia,
cinta agung adalah cinta-NYA.
Tolong beritahu si dia,
cinta manusia bakal membuatnya alpa..
Tolong nasihati si dia,
jangan menyintaiku lebih dari dia menyintai Yang Maha Esa.
Tolong nasihati si dia,
jangan mendoakanku lebih daripada doa buat ibu bapanya.
Tolong katakan pada si dia,
dahulukan Allah. Kerana di situ ada syurga..
Tolong katakan pada si dia,
dahulukan ibu bapanya.
Kerana di telapak itu syurganya.
Tolong ingatkan si dia,
aku terpikat kerana imannya, bukan rupa.
Tolong ingatkan si dia,
aku lebih cintakan zuhudnya, bukan harta..
Tolong ingatkan si dia,
aku kasihinya kerana santunnya..
Tolong tegur si dia,
bila dia mula mengagungkan cinta manusia..
Tolong tegur si dia,
bila dia tenggelam dalam angan-angannya..
Tolong tegur si dia,
andai nafsu mengawal fikirannya..
Tolong sedarkan si dia,
aku milik Yang Maha Esa..
Tolong sedarkan si dia,
aku masih milik keluarga..
Tolong sedarkan si dia,
tanggungjawabnya besar kepada keluarganya..
Tolong sabarkan si dia,
usah ucap cinta di kala cita-cita belum terlaksana..
Tolong sabarkan si dia,
andai diri ini enggan dirapati kerana menjaga batasan cinta.
Tolong sabarkan si dia,
bila jarak menjadi penyebab bertambah rindunya..
Tolong pesan padanya,
aku tak mahu menjadi fitnah besar kepadanya..
Tolong pesan padanya,
aku membiarkan Yang Maha Esa menjaga dirinya..
Tolong khabarkan pada si dia,
aku tak mahu melekakan dia..
Tolong khabarkan pada si dia,
aku mahu dia berjaya dalam impian dan cita-citanya..
Tolong sampaikan pada si dia,
aku mendambakan cinta suci yang terjaga..
Tolong sampaikan pada si dia,
cinta kerana Allah tak ternilai harganya..
Tolong sampaikan pada si dia,
hubungan ini terjaga selagi dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Kuasa.
Tolong sampaikan pada si dia,
kerana aku tak mampu memberitahunya sendiri..
Tolong sampaikan padanya..
Hanya Engkau Ya Allah,
mengetahui siapa dia..
Moga pesananku sampai padanya,
walau aku sendiri tidak mengetahui siapa dan dimana si dia..
Simpanlah pesananku ini sehingga engkau bertemu diriku suatu hari nanti..
Semoga kita bertemu dalam izin dan rahmat-Nya..
Dan ingatlah pesan Tuhan..

“Dan segala sesuatu Kami jadikan berpasang-pasangan, supaya kamu mengingat kebesaran Allah.”
(adz-dzariyaat:49)


“janganlah kalian mendekati zina, kerana zina itu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk.”
(al-isra:32)


“...wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik.”
(an-nur:26)


“wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami).. dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”
(surah al-furqan:74)

Khamis, 1 Mac 2012

Warkah Buat Arjuna Hatiku...

Assalamu’alaikum...

Warkah ini ku tujukan buat insan yang bergelar Arjuna Hati.
Aku wanita duka yang tersalah dalam menilaimu.
Aku wanita pilu yang bersalah kerana mencintaimu.
Aku wanita sedih yang mengalah dalam hubungan ini.

Arjuna hatiku,

Seandainya dikau tidak pernah mencintaiku, jangan katakan ‘ya’
Kerana saat kau lafazkan cinta, itu memberiku harapan.


Jangan!
Jangan kau sakiti hatiku,
Kerana aku tak pernah mengenalimu dan menyakitimu sebelum ini.
Aku wanita berhati rapuh.
Cintaku padamu bukan kerana hebatnya dirimu dalam berhujah.
Bukan kerana kerjayamu..
Apatah lagi kerana raut wajahmu.
Kerana kita zuhud di dunia ini.

Dunia ini fana..
Keindahannya hanyalah fatamorgana.
Tidak aku dambakan rijal yang hebat di dunia semata.
Kerana aku juga nisa’ yang lemah.
Serba-serbi kekurangan.
Aku hanya perlu seorang pemimpin dan pembimbing.
Tatkala mencari sinar kebenaran dan kasih-Nya.
Jua keredhaan-Nya.

Arjuna hatiku,


Seandainya benar kasihmu untukku,
Buktikanlah ia dengan lafaz sakinah milik kita berdua.
Izinkan aku menjadi pendamping hidupmu.
Izinkan aku menjadi isteri solehah di samping suami.
Jadikan aku wanita syurga.


Arjuna hatiku.

Dalam tahajud dan sujud panjangku,
Tak henti-henti aku berdoa agar diberi jalan dalam hubungan ini.
Kerana aku mahu mencintai dan dicintai.
Semuanya kerana Allah.

Srikandi hati yang luka...(T_T)