Jumaat, 10 Februari 2012

Baitul Muslim ke?? ^^


Cinta, cinta dan selamanya cinta. Bulan February yang sinonimnya dikatakan bulan penuh kecintaan. Mungkin ramai yang bersetuju dengan hari kekasih yang menjadi sambutan setiap pasangan kekasih yang bercinta. Tapi, bagi umat islam, perlukah menyambut hari kekasih ini? Jawapannya, sudah tentu TIDAK! Ketika saya suarakan isu ini, ramai sahabat-sahabat yang berkata saya tidak faham kerana saya tidak ada pasangan. Siapa kata? Saya juga manusia biasa yang Allah kurniakan fitrah insani. Saya juga kini sedang bercinta. Dengan siapa saya bercinta? Biarlah rahsia. Kerana saya mahu menjaga kesucian cinta ini buat Arjuna Hati.
Tidak ada siapa pun yang dapat melarikan diri daripada mencintai dan dicintai. Ia adalah fitrah – semua manusia terdorong untuk menikmati cinta. Cinta umpama hadiah daripada Allah. Kita gembira dan suka apabila menerima hadiah. Namun, wajarkah hadiah lebih dicintai daripada PEMBERI HADIAH? Jawabnya, tepuk dada, tanya iman di dalam jiwa. Tentulah pemberi hadiah. Malangnya, apa yang berlaku kekadang lebih daripada itu. Pujaan, sanjungan dan sikap mengagung-agungkan cinta dalam nyanyian dan filem kekadang sampai ke tahap boleh ‘mempertuhankan’ cinta. Seolah-olah cinta itulah segala-galanya. Padahal dalam realitinya, cinta yang sebegitu selalunya sirna setelah diuji di alam rumahtangga. Sementara belum dapat… dipuji dan dipuja, tetapi setelah dapat, segala kemanisannya hilang. Apa yang tak kena dengan cinta sebegini?
Memang setiap yang enak dan indah itu ‘memabukkan.’ Apalagi jika diteguk keterlaluan dan tanpa peraturan. Gula yang manis itu pun, jangan diambil berlebihan. Begitulah dengan cinta. Bila mabuk, kita tidak sedar, tidak Nampak dan tidak pasti. Yang dilihat hanya indah-indah sahaja.
Firman Allah:
“Apakah kamu tidak melihat bagaimana ada manusia yang mempertuhankan hawa nafsunya.” (Al-Jaatsiyah 45:23)
Yakinlah Allah itu indah dan cinta pada keindahan – cinta yang sejati ialah cinta yang tidak bertambah kerana kebaikan dan tidak berkurang kerana kesalahan. Bagi kaum Adam yang mencari pasangan yang jelita. Ingatlah kata-kata ini, “tidak ada wanita hodoh, hanya kecantikan yang berbeza.” Inginkan kecantikan dan suka kepada kecantikan tidak menjadi satu kesalahan. Ia adalah fitrah semulajadi manusia. Semua orang, sukakan kecantikan kerana itu sifat Allah. Wanita juga adalah ciptaan Allah, dan sudah tentu ciptaan Allah cantik belaka. Lebih cantik seorang wanita jika akhlaknya juga dihiasi dengan indah. Sesuai dengan sabda Rasulullah,
“Dunia ini perhiasan, seindah-indah hiasan adalah wanita solehah.”
(hadis riwayat muslim)
Untuk mendapatkan cinta, kecantikan itu tidak menjadi persoalan utama, tetapi apa yang penting ialah berikanlah cinta. Jika memberi, pasti akan ada yang menerima jua nanti. Harta, rupa, takhta, dan agama (akhlak) adalah 4 pandangan manusia dalam mencintai wanita. Tetapi sabda Rasulullah, pilih yang baik agamanya. Renungkan sebentar… jika kita boleh belajar dari pengalaman pahit orang lain, kenapa perlu kita merasai kepahitan itu sendiri untuk belajar? Ingatlah, yang baik itu cantik tetapi yang cantik itu tidak semestinya baik! Siapa soleh dapat solehah! Firman Allah:
“perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, manakala lelaki yang baik untuk wanita yang baik, begitulah jua sebaliknya”
(an-Nur:26)
Cinta, cinta dan selamanya cinta. Kerana cinta alam tercipta, kerana cinta hidup bahagia dan kerana cintalah kita kenal Pencipta. Oleh itu, bagi pasangan yang bercinta, sandarkanlah cinta itu di landasan keimanan dan jadikan cinta itu ibadah kepada Allah. Ayuh kita sama-sama meraih cinta hakiki dan rindu abadi hanya buat yang Esa….


Tiada ulasan:

Catat Ulasan